MICET Daily Streaming

Kasanova Jerat Mahasiswi

Oleh Irwan On 12:17 AM


PERTEMUAN dengan tetamu ruangan Pengakuan minggu ini dirancang dalam tempoh singkat. Berkenalan dengannya di laman siber, lelaki berusia 33 tahun ini sudi berkongsi pengalaman pahitnya dengan satu syarat iaitu dia tidak mahu gambarnya disiarkan.

Memilih kafe di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pemilik tubuh sasa berkulit kuning langsat yang mahu dikenali sebagai Badrul ini ramah menyambut kehadiran penulis.

“Saya pernah dipenjarakan atas kesalahan menipu, menyamar sebagai pegawai polis dan menggunakan wang palsu.

“Ketika berumur 26 tahun, saya sudah mampu memiliki kereta dan mula main perempuan yang kebanyakan mangsa saya ialah pelajar institusi pengajian tinggi.

“Pada masa itu saya menyamar sebagai seorang pegawai polis berpangkat Inspektor. Kereta dan kebolehan saya bertutur dalam bahasa Inggeris memang jadi umpan untuk menarik perhatian pelajar wanita.

“Bila mereka sudah ‘cair’, saya ajak mereka ke rumah sewa dengan satu janji iaitu saya akan berkahwin dengan mereka selepas mereka tamat pengajian,” katanya.

Pada pemerhatian penulis, Badrul memang tidak sia-siakan pakej dirinya untuk memikat wanita. Anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka ini segak orangnya, berperwatakan menarik dan pandai bergaya. Pendek kata, gelaran lelaki metroseksual amat sesuai untuknya.

Tidak cukup dengan meniduri mereka, Badrul memberitahu, dia juga mengajar semua teman wanitanya mengambil syabu atau ice, supaya hubungan seks mereka mampu bertahan lama.

“Macam-macam saya lakukan untuk buat mereka sayang dan percaya pada saya. Tak cukup dengan kata-kata manis dan kesanggupan untuk berkahwin, saya ikut mereka pulang ke kampung dan berkenalan dengan keluarga mereka.

“Malah, saya pernah mempunyai tiga orang tunang pada satu masa. Saya minta tolong rakan-rakan untuk menyamar sebagai ahli keluarga bagi memastikan rancangan saya berjaya,” cerita Badrul.

Menurutnya, setelah ikatan pertunangan dijalinkan, Badrul mula bercerita tentang skim pelaburan yang dijalankannya bersama beberapa orang kawan untuk mencari duit lebih.

“Tidak sukar untuk meyakinkan mereka bahawa pelaburan ini mampu memberi pulangan sehingga tiga kali ganda. Caranya, selepas dua kali mereka melabur, saya memberi pulangan seperti yang dijanjikan.

“Selepas itu berebut ahli-ahli keluarga yang lain melabur sehingga berbelas ribu ringgit dengan harapan dapat duit berkepuk tanpa perlu bekerja,” katanya.

Helah Berkursus

Cerita Badrul, untuk melarikan diri daripada keluarga tiga tunangnya itu, dia menggunakan alasan terpaksa pergi berkursus selama enam minggu sebagai satu prosedur yang wajib dipatuhi untuk kenaikan pangkat.

“Pada masa itulah saya lari dengan duit hampir RM50,000 ke Sarawak. Ketiga-tiga tunang saya tinggalkan. Bukan tak ada rasa sayang dan simpati, tetapi keinginan untuk hidup mewah mengatasi segalanya.

“Di Kuching, saya ulangi perbuatan sama, menggunakan kelebihan diri untuk menipu dan mengumpul seberapa banyak wang,” katanya.

Namun, penyamaran kali ini tidak bertahan lama. Biarpun identiti sebenar tidak diketahui oleh mangsa-mangsanya, Badrul ditahan selepas kira-kira enam bulan meninggalkan Kuala Lumpur.

“Salah seorang tunang telah hamil tanpa pengetahuan saya. Apabila tunang mengakui kami kerap tidur bersama, keluarganya mula mengesyaki sesuatu lebih-lebih lagi selepas diberitahu saya mengajarnya menghisap ice.

“Saya diberitahu, keluarga tunang mencari saya sehingga ke Bukit Aman untuk mengetahui di mana tempat saya ‘berkursus’ untuk segera dinikahkan, namun mereka gagal mengesan saya.

“Salah seorang sepupu mangsa yang berada di Kuching memberitahu mereka pernah terserempak dengan saya memakai uniform polis di sekitar bandar raya itu. Dia lapor pada polis dan tidak lama kemudian saya ditahan,” kata Badrul.

Tak Sempat Minta Ampun

Pengalaman hidup di balik jeriji besi amat menginsafkan Badrul. Baginya, tempoh yang terpaksa dihabiskan sebagai banduan amat menyeksakan lebih-lebih lagi dia ditempatkan di Penjara Pusat Kuching yang jauh dari keluarganya yang menetap di Melaka.

“Semasa tahun pertama saya di penjara, saya sempat mengutus surat buat arwah emak. Dalam surat balasnya, dia berharap dia dapat melawat saya pada Hari Raya. Namun, seminggu sebelum puasa saya dapat berita mengatakan emak meninggal dunia akibat penyakit darah tinggi.

“Sejujurnya, hubungan kami tidak begitu baik selepas emak berkahwin lagi. Saya jarang balik ke rumah, kalau balik pun, sekadar tunjuk muka. Apabila emak menasihati saya, saya naik hantu. Saya sering menganggapnya berfikiran kolot dan tak layak bercakap dengan saya.

“Selepas emak meninggal dunia, baru saya terasa kehilangannya. Saya belum sempat minta ampun dan kucup tangannya. Apa yang lebih menyedihkan, saya diberitahu emak terlalu memikirkan saya sehingga membawa kepada kematiannya,” ujar Badrul sebak.

Tambah Badrul, walaupun hidupnya terkurung namun penjara adalah tempat dia belajar mengenal kehidupan.

“Banyak yang saya belajar di situ. Saya pandai mengaji dan sembahyang pun di penjara, mungkin itulah hikmahnya,” katanya.

Ingin Tatap Wajah Anak

Badrul yang dibebaskan dua tahun lalu kini sudah berubah. Dia yang sekarang merupakan eksekutif jualan di pusat beli-belah terkemuka di Bukit Bintang, sudah melupakan kisah silamnya dan membuka lembaran baru.

“Saya mengakui terlalu banyak silap yang saya telah lakukan dan ia adalah pengajaran paling bermakna dalam hidup saya. Bagi insan yang pernah saya tipu, hanya kata maaf yang mampu saya lafazkan.

“Jika saya diberi peluang, saya mahu bertemu dengan anak saya. Saya tidak pernah menatap wajahnya. Semasa di penjara, saya diberitahu tunang telah selamat melahirkan anak lelaki dan meminta saya jangan mencarinya serta anak.

“Saya sudah berusaha menjejaki keluarga tunang saya, tetapi mereka telah berpindah.

“Saya sangat berharap, saya diberi peluang untuk menunaikan tanggungjawab saya sebagai bapa,” rintih Badrul penuh insaf.

0 Response to "Kasanova Jerat Mahasiswi"

Post a Comment

IP Anda

IP

Tetamu

About Me

Followers