Laluan susur gajah yang baru siap memberikan kelegaan kepada pelajar ketika panas dan hujan sebagai tempat laluan berteduh. Dengan adanya laluan tersebut, pelajar tidak lagi risau akan perubahan cuaca.
Namun yang menjadi persoalan di sini adalah bagaimana laluan tersebut memberi jaminan keselamatan kepada peljar ketika melalui laluan tersebut pada waktu malam. Keadaan laluan yang gelap boleh menimbulkan banyak sebab musabab seperti keselamatan pelajar dan sebagainya.
Kenapa laluan tersebut tidak diterangi dengan cahaya? Adakah mahu menjimatkan penggunaan elektrik atau kedekut untuk mengeluarkan duit? Utamakanlah keselamatan pelajar dan berbelanjalah demi keperluan pelajar. Tidak ada makna jika keselamatan pelajar dan kebajikan pelajar tidak diendahkan.
Adakah mahu melihat kejadian yang tidak diingini, barulah akan diambil tindakan selanjutnya. Mencegah itu lebih baik dari merawat sebelum malang yang tidak berbau yang akan diselubungi dengan tanda tanya.
Jika diamati keadaan padang bola sepak dalam MICET tak tumpah seperti sawah bendang yang boleh menanam padi. Begitulah keadaan padang yang begitu teruk sehingggakan menimbulkan rasa kurang selesa pemain untuk beraksi di atas padang.
Andai kata perlawanan persahabatan dilangsungkan di atas padang MICET ketika selepas hujan, maka pemain-pemain seperti mengejar lumpur dan air yang bertakung bukannya bola. Tidak terasa malukah jika pasukan pelawat datang dengan keadaan padang yang agak teruk itu.
Sistem peparitan yang tidak tersusun menambahkan lagi keadaan padang yang uzur itu. Apakah tindakan pihak tertentu untuk memperbaiki keadaan padang tersebut? Kenapa tidak diubah suai padang supaya sistem pengaliran air berlaku dengan lancar? Adakah pihak tertentu membutakan mata semata-mata untuk tidak campur tangan dalam menyelesaikan masalah padang tersebut?
Jika gelanggang bola tampar boleh diubah suai dan dibaiki, kenapa padang bola sepak terlepas pandang? Adakah kerana pihak yang menguruskan bahagian sukan berminat dengan bola tampar, maka gelanggang bola tampar yang diubah suai. Apakah kepentingan pondok digelanggang bola tampar? Adakah ia penting untuk semua atau untuk kepentingan peribadi?
Kepada mereka yang terlibat dengan sukan, diharapkan memandang serius dengan keadaan bola yang uzur seperti sawah bendang itu.
Ura-ura kedengaran yuran asrama akan dinaikan sehingga 38.9% daripada yuran sekarang akan menimbulkan persoalan kepada pelajar mengapa ia berlaku demikian dalam tempoh yang begitu singkat ini.
Kenaikan daripada jumlah asal adalah sebanyak RM550 setiap semester pada julai 08 kepada RM900 atau kenaikan secara mendadak sebanyak 38.9% ini membebankan pelajar kerana kos hidup yang agak tinggi. Mengapa perlu dinaikkan yuran asrama ini sedangkan tempoh tidak sampai 2 semester kenaikan ini dijangka akan berlaku lagi atau sebaliknya?
Apakah tindakan pengurusan berbuat demikian? Adakah kerana arahan dari pihak canselari atau menggunakan alasan yang lapuk untuk membaiki kemudahan asrama atau mereka sudah ‘kekeringan duit’? Adakah dengan menaikkan yuran ini akan meredakan kesenangan pelajar atau mahu menghukum pelajar agar hidup dalam kesempitan?
Jika alasan untuk membaiki asrama, itu bukan jawapan yang ‘cerdik’ kerana kemudahan yang disediakan hanya ala kadar sahaja. Jika ada perubahan ketara pun bukanlah sehingga hampir mencecah angka RM200 pelajar perlu tanggung setiap bulan.
Harga purata setiap bulan untuk setiap semester bagi sesi julai 2008 adalah sebanyak RM90/bulan atau RM450/semester. Bagi sesi januari 2009 adalah sebanyak RM110/bulan atau RM550/semester dan untuk akan datang jika benar ia berlaku pada sesi julai 2009 akan meningkat sebanyak RM180/bulan atau RM900/semester. Kenaikan ini kenaikan yang agak melampau.
Jika dibandingkan dengan harga asal pada semester julai 2008 iaitu pada takat RM450 setiap semester iaitu kenaikan pada sebanyak RM110 atau 18.2% pada semester januari 2009 boleh diterima oleh pelajar tetapi kenaikan sehingga mencecah RM900 atau 38.9%.
Harga rumah sewa tidak semahal itu. Apakah keistimewaan asrama sehinggakan mencecah nilai yang besar itu? Adakah mempunyai penghawa dingin 4 kuasa kuda, bilik air, dapur atau mesin basuh dalam setiap bilik? Katakanlah kalau RM180/orang dan setiap bilik ada empat penghuni. Jumlah keseluruhan untuk empat orang adalah RM720. Adakah itu murah di asrama? Sedangkan rumah sewa hanya sekitar RM300 hingga RM400 sebuah untuk didiami oleh empat individu. Bukan bilik tapi rumah? Besar lagi dari asrama MICET.
Jika ini benar-benar berlaku, kemungkinan asrama MICET ini akan kosong dan dihuni oleh makhluk halus sahaja. Cuba fikir kesenangan pelajar jangan fikir kesenangan peribadi. Jadilah seperti khalifah Umar B Abdul Aziz. Bagaimana rakyatnya hidup senang dan tidak ada yang terima zakat pada masa itu kerana semua orang kaya. Jangan kerana komisyen akan jadi ‘corruption’.
Masih ada lagi segelintir mereka yang ‘buta huruf’ dengan apa yang dipaparkan ini. Adakah mereka tidak pandai membaca atau saja-saja buat-buat buta dengan apa yang jelas dipaparkan ini?
Setiap kali berlaku seperti ini, mereka membutakan mata sehinggakan ‘melepaskan’ sahaja jerung ini kerana mereka staff MICET. Jika pelajar salah letak atau sekejap sahaja berhenti, terus mereka rantai atas alasan arahan orang atasan. Adakah dengan alasan ‘pondan dan lapuk’ ini diguna pakai semata-mata mahu merantai kereta pelajar?
Dengan ini, jelas terbukti pihak pengurusan sangat gagal dalam menangani isu pelajar. Jadi lepas ini dicadangkan, jangan adakan tempat letak kenderaan lagi kerana ini hanya bersifat plastik dan rektorik semata-mata.
Setelah selesai berlangsungnya program Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka (KTIAM) bersama pelajar sekolah pada 27 Februari hingga 1 Mac 2009, Chem-E-Car pada 5 Mac 2009 dan Polymer Rubber Institute Malaysian (PRIM) pada 5 hingga 7 Mac 2009, tiada lagi kilauan lampu warna-warni di ruangan kampus MICET. Apakah kilauan ini untuk mengaburi mata pelawat?
Ini menunjukkan sikap pengurusan hanya bersikap ‘double standard’ dalam apa jua program yang diadakan lebih-lebih lagi program yang begitu gah. Adakah dengan memasang lampu tersebut hanya semata-mata ingin menunjuk-nunjuk kepada orang luar bahawa MICET ini penuh dengan cahaya warn–warni sedangkan pada waktu biasa seperti lampu laluan pejalan kaki tidak dipasang dengan lampu.
Bagi orang luar, kita terlalu agung-agungkan tetapi untuk pelajar sendiri mereka tidak menyediakan kemudahan yang mencukupi. Salahkah menerangi kawasan-kawasan laluan pejalan kaki dengan lampu? Jangan kerana anak kelaparan, kera disusukan. Utamakanlah pelajar MICET terlebih dahulu daripada orang luar.
Adakah mahu mengejar nama daripada menjaga keselamatan. Keselamatan yang dimaksudkan adalah ketika pelajar menggunakan laluan ketika melalui belakang bilik pensyarah sedangkan kawasan tersebut gelap. Katakanalah tiba-tiba pelajar terjatuh atau berlaku sesuatu yang tidak jangka, nama MICET jugalah akan ‘harum’ tapi dalam keadaan yang kotor.
Jika mahu menerangi kawasan, biarlah ia berterusan kerana perubahan pada MICET apabila diterangi dengan cahaya-cahaya lampu yang berwarna-warni. Suasan itu akan menyerikan suasana malam dalam kampus.
Sudahlah gelap tanpa lampu jalan yang rosak. Ditambah pula masalah kegelapan pada laluan utama pelajar ketika menggunakan laluan berbumbung ketika hujan. Jadi, pihak terlibat harus mementingkan keselamatan pelajar berbanding kepentingan diri. Ketika hujan, laluan tersebut lagi berbahaya kerana licin dengan lantainya yang basah. Keadaan yang gelap akan menyukarkan pelajar ke kelas jika hari itu hujan. Sama-sama fikir masalah ini.
Apakah kepentingan yang MICET dapat dengan pengisian borang DDA Cimb Bank yang boleh didapati dikaunter Kewangan MICET? Adakah ini satu penipuan secara besar-besaran? Cuba difikir sejenak mengapa pihak MICET ‘memaksa’ pelajar untuk mengisi borang DDA?
Sekarang pihak pengurusan MICET gelabah kerana pihak MARA telah memasukkan duit ke dalam akaun bersama duit saraan dan duit pengajian. Sebab pihak MARA berbuat demikian adalah untuk membuktikan kepada pelajar bahawa pihak MARA telus dalam memberikan pinjaman kepada pelajar. Akan tetapi ada ‘pihak tengah’ cuba mengambil kesempatan terhadap pelajar.
Sebagai contoh mengapa pelajar perlu melunaskan kepada pihak pengurusan MICET duit pengajian mereka secara total sedangkan pembayaran yuran pengajian adalah berdasarkan jumlah pengiraan jam kredit yang diambil bukan main lump-sum begitu sahaja.
Jika dikira kembali, jumlah yuran pengajian pelajar diploma adalah RM4000 setiap semester manakala untuk pelajar peringkat ijazah adalah sebanyak RM5750 setiap semester. Jika dikira jam kredit yang diambil sebagai contoh adalah 18 jam kredit:
Katakanlah harga setiap jam kredit adalah RM300
RM300 X 18 jam kredit = RM 5400
Jadi pelajar kena bayar adalah RM5400 bukannya RM5750 bagi pelajar ijazah. Jadi baki sebenar pelajar akan dapat sepatutnya RM350. Tetapi pelajar yang mengambil sekitar 12 jam kredit adalah:
RM300 X 12 jam kredit = RM3600
RM5750 – RM3600 = RM 2150
Jumlah sebanyak RM2150 ini adalah duit pelajar. Jika pelajar tersebut tidak mengetahui, maka duit mereka akan hangus begitu sahaja. Apa tidaknya, mereka yang bayar untuk 18 jam kredit pun rugi sama dan ini apatah lagi pelajar yang mengambil 12 jam kredit. Ayuh pelajar, jangan bersengkokol dengan malaun-malaun ini. Dapatkan kembali wang anda. Itu duit anda. Jangan biarkan anda ditipu oleh orang yang bodoh dalam menguruskan duit anda. Sentiasa peka dengan perkembangan semasa.
Itulah sebab borang DDA dikeluarkan dan notis seperti “memaksa’ pelajar dikenekan sehingga penghujung April ini. Kenapa perlukan boring DDA? Biarlah pelajar yang menguruskan kewangan mereka sendiri. Mungkin sebab inilah pihak MICET gelabah kerana duit masuk secara terus ke dalam akaun pelajar. Jangan biarkan anda merana. Itu duit anda.
Selepas tidak dibenarkan berniaga dilaluan berdekatan dengan BT 1 dan BT 2, Warung MICET telah beralih ke kawasan Bilik HEM. Warung tersebut mula beroperasi semula semasa program Chem-E-Car dan PRIM setelah operasinya ditutup pada 25 Februari 2009 yang lepas.
Bermula selepas cuti semester, warung tersebut agak ‘tersembunyi’ daripada pelajar. Keadaan ini menyebabkan pelajar tidak dapat ke warung tersebut kerana warung tersebut bukan laluan utama seperti sediakala.
Faktor keselamatan pula adalah, warung tersebut terletak bersebelahan dengan ‘Lab Separation’. Keadaan inimungkin mengganggu kesihatan kerana makmal tersebut mempunyai bahan kimia yang meruaptambahan pula berdekatan dengan warung tersebut. Tong-tong bahan buangan pun berada disekitar dan berdekatan dengan warung tersebut.
Mungkin ini tidak memberi kesan jangka pendek tetapi akan memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan kita. Kenapa ini berlaku dan warung tersebut tidak ditempatkan di tempat yang sesuai? Lebih baik warung tersebut di tempatkan di dalam makmal tersebut? Setujukah anda jika dilakukan demikian? Sama-sama kita fikirkan masalah ini.
Duit pinjaman untuk bulan ini bagi bulan Mac masuk agak lewat sedikit memandangkan ada penstrukturan semula dalam pinjaman.
Mahasiswa diingatkan agar tidak menyalah gunakan duit pinjaman untuk bulan ini kerana jumlah duit yang dimasukkan oleh pihak MARA pada kali ini termasuk dengan duit sara diri dan duit pengajian.
Bagi pelajar diploma, jumlah duit pinjaman kali ini adalah RM535 dan RM4000 masing-masing adalah duit sara diri dan duit pengajian. Jumlah keseluruhan adalah RM4535. Bagi pelajar ijazah pula, jumlah duit pinjaman kali ini adalah RM595 dan RM5750 masing-masing adalah duit sara diri dan duit pengajian. Jumlah keseluruhan adalah RM6345.
Diharapkan kepada mahasiswa lebih berhati-hati dalam menguruskan kewangan. Untuk mengetahui maklumat lebih lanjut, sila layari www.micet.edu.my di bahagian e-learning. Harap maklum.